Gallipoli ataupun dalam bahasa Turkey Gelibolu merupakan bandar perang terutamanya semasa perang dunia pertama. Bandar Gallipoli terletak bertentangan dengan bandar
CANAKKALE dan dipisahkan oleh selat Canakkale. Di sini terdapat banyak bahan-bahan peninggalan perang seperti tanah perkuburan tentera dan pejuang semasa peperangan, muzium perang, kubu-kubu pertahanan, kelongsong-kelongsong peluru yang boleh dijumpai di merata-rata tempat dan apa yang menariknya kebanyakan warga turkey yang tinggal di sini merupakan bekas ataupun sedang berkhidmat sebagai askar turkey. Dasyat! Tidak pernah terlintas di fikiran saya sebelum ini untuk kembara menggunakan motor besar di Turkey dan alhamdulillah untuk kembara kali ini di Gallipoli sahabat baik saya warga turkey yang sangat baik dan gemar tersenyum iaitu Furkan Gulmec sudi menemani saya dan membawa saya jalan-jalan menaiki motor besarnya. Broom..!!
1. Gallipoli Waterfront
Disini merupakan tempat terletaknya jeti feri yang saya naiki dari Canakkale dan Gallipoli Waterfront merupakan tempat petama yang saya tuju selepas turun dari feri. Sangat tenang dan aman di sini. Dengan bayu laut dingin yang menyapa pipi dan menerbangkan rambut saya. Kicauan burung-burng putih yang bebas berterbangan menyambut kedatangan kami. Cahaya matahari yang terang tetapi dingin masih mencengkam setiap inci kulit. Baju sejuk yang dipinjamkan oleh sahabat Indonesia saya yang belajar di Istanbul saya zipkan, jaket motor yang diberi oleh Furkan Gulmec saya butangkan, mafla buatan tangan warna merah biru yang saya beli di kedai tepi jalan di Istanbul saya kemaskan. Helmet ala-ala pelumba motosikal terkenal Turkey saya sarungkan. "Furkan i'm ready, lets go!". Ujar saya penuh keterujaan.
2. War Monument
War Monument terletak bersebelahan dengan Gallipoli Waterfront. Di sini kita dapat lihat kejadian sebenar ataupun situasi sebenar bagaimana keadaan sebenar semasa peperangan yang perlu dihadapi oleh tentera-tentera Turkey. Perkara yang paling mengejutkan minda separa sedar saya dan sampai sekarang saya ingat apa yang diceritakan oleh Furkan ialah semasa peperangan, kubu yang dibina diantara kubu musuh jaraknya hanya lebih kurang lapan meter sahaja dan setiap tentera yang berjuang tahu yang mereka pasti akan mati apabila memasuki kubu itu tetapi demi semangat cintakan agama Islam dan negara Turkey mereka akhirnya syahid di medan peperangan. Subhanallah besarnya pengorbanan mereka!
3. Small Mosque
Masjid ini merupakan antara masjid tertua di Gallipoli yang terletak di atas bukit. Memang saya perasan yang masjid ini sudah berusia mungkin puluhan malah ratusan tahun dengan melihat seni bina masjid ini, keadaan hiasan dalaman masjid ini yang bagi saya sangat klasik, unik dan tersendiri, tempat mengambil wudu di luar kawasan masjid juga cantik dan berukir-ukir diperbuat daripada batu marmar berwarna putih dan pelbagai lagi hiasan yang masih mengekalkan ciri-ciri di zaman empayar ottoman. Secara jujurnya, saya sangat takjub dan suka dengan masjid- masjid di Turkey. Binaannya sangat berseni, teliti dan unik yang membuatkan kita rasa teruja untuk beribadat di sini dan terpanggil untuk beriktikaf lama sambil menghayati keindahan masjid. Saya juga sempat bertemu dan berbual dengan imam masjid ini yang telah mewakafkan dirinya untuk berkhidmat sepanuh masa sebagai imam. Subhanallah!
4. Fort Namazgah
Pada mulanya saya menyangka kawasan ini adalah kawasan padang yang luas tetapi rupanya ia adalah bekas kubu pertahanan semasa peperangan dan tempat menyimpan alatan peperangan. Kawasan ini sangat cantik dan saujana mata memandang dengan rumput yang menghijau seperti karpet yang meliputi setiap inci tanah, ditambah pula dengan kehadiran bungan-bunga kecil berwarna kuning, bayu laut yang sepoi-sepoi bahasa dan bunyi ombak yang menghempas tebing. Segar. Indah. Damai. Fort Namazgah merupakan ibu pejabat kepada Heavy Artillery Regiment yang ke-4 dibawah pimpinan Lt. Colonel Mehmet Zekeriya semasa peperangan 18 March.
5. Fort Namazgah Entrance
Ini pula merupakan bekas runtuhan bangunan pada zaman dahulu dan yang tinggal hanyalah bahagian pintu masuk utama. Menurut sahabat saya, bangunan ini telah runtuh akibat serangan dari pihak musuh dan bahagian yang tinggal masih kuat dan utuh sehingga sekarang.
6. Kilitbahir Castle
Kilitbahir bermaksud pengunci pintu laut. Ianya terletak bertentangan dengan Kale-i Sultaniye Castle yang terletak di bandar Canakkale. Kedua-dua istana ini berfungsi sebagai kubu di perairan selat Canakkale daripada digangu ataupun dimasuki musuh. Ianya dibina oleh Sultan Mehmet Fatih pada tahun 1463. Semasa lawatan saya ke sini istana Kilitbahir ini tutup kerana kerja-kerja menaik taraf sedang dilakukan. Jadi saya hanya berpeluang untuk melihat dan meninjau istana ini dari luar sahaja. Sebelum ini saya hanya dapat melihat istana-istana besar dan megah seperti ini dalam filem-filem terbitan disney tetapi sekarang saya dapat melihatnya di depan mata saya sendiri. Kagum!
6. Canakkale Straits
Saya sangat terpesona dengan kejernihan dan kebersihan air laut di Cannakkale/ Gallipoli. Lautnya berwarna biru kehijauan dan kejernihan airnya membolehkan saya nampak dengan jelas ikan-ikan berwarna-warni berenang bebas. Menurut sahabat saya Furkan Gulmec,air laut selat canankkale ini bersih kerana ianya sentiasa mengalir dari laut Aegan ke laut Marmara seperti sebatang sungai. Jadi airnya sentiasa diperbaharui dan itulah yang menyebabkan air laut ini sentiasa bersih, jernih dan kaya dengan hidupan laut. Kalaulah saya datang di Gallipoli pada musim panas, sudah jauh saya berenang rasanya! Berdekatan dengan kawasan ini ada sebuah masjid. Kami menunaikan solat jumaat di masjid ini. Alhamdulillah saya berkesempatan untuk merasai solat jumaat dan mendengar khutbah dalam bahasa turkey di sini walaupun tersengguh-sengguk semasa khutbah dibacakan. Selepas solat jumaat sempat juga saya bersembang-sembang dengan imam masjid ini yang fasih berbahasa inggeris, banyak ilmu yang dikongsi oleh beliau dan katanya, jikalau datang ke Gallipoli lagi singgahlah ke rumahnya pula. Inshaallah.
8. Sehitler Aniti
Ini juga merupakan salah satu kubu tentera turkey yang berada di bandar Gallipoli. Walaupun ianya adalah bekas kubu semasa peperangan dahulu kala tetapi ianya masih kekal sehingga sekarang dan masih berfungsi. Patung ini dibina untuk menunjukkan betapa hebatnya tentera turkey pada masa dahulu, demi mempertahankan negara dari serangan musuh sanggup mengangkat bahan letupan yang beratnya bertan-tan dengan hanya menggunakan tulang empat kerat.
9. Turkish Memorial
Untuk ke sini ianya mengambil masa lebih kurang 15 minit menggunakan motorsikal. Dalam kesejukan dan kedinginan ditambah lagi aingin yang kuat. Kami meredah jalan raya yang luas dengan di kiri dan kanan kami ladang yang menghijau, bukit bukau yang saujana mata memandang dan kami juga boleh melihat kambing-kambing khusyuk meragut rumput untuk ke memorial dan perkuburan pejuang-pejuang turkey yang terkorban semasa peperangan. Di Turkish Memorial ini terdapat dua bahagian iaitu bahagian memorial dan bahagian perkuburan sebenar. Di bahagian memorial ini kita akan dapat melihat nama-nama pejuang yang terkorban semasa peperangan dan meraka bukan hanya berasal dari turkey sahaja malah ada yang berasal dari Mesir, Greece, Palestine, Israel dan macam-macam lagi negara demi mempertahankan negara Turkey dan agama Islam. Subhanallah!
10. Canakkale Sehitleri Aniti (Canakkale Martyrs Memorial)
Di sini merupakan tempat memperingati askar-askar yang yang telah terkorban dan syahid semasa peperangan. Setiap tahun akan diadakan upacara memperingati mereka yang terkorban. Saya dan Furkan Gulmec amat bernasib baik kerana ketika kami sampai di sini sedang berlangsungnya raptai ataupun latihan persediaan sebelum berlangsungnya hari pahlawan. Dapatlah kami lihat bagaimana perbarisan dijalankan dan melihat askar turkey yang tinggi dan bermuka serious berkawat, melihat dan mendengar pasukan pancaragam turkey, menonton persembahan tarian tradisional turkey dan yang paling seronok dapat mengambil gambar dengan askar-askar turkey! Ada askar, tentera laut, tentera darat, tentera udara malah askar berkuda. Semuanya mempunyai pakaian seragam yang berbeza dan sangat unik.
11. Mustafa Kemal Atartuk Statue
Patung ataupun statue ini merupakan patung Mustafa Kemal Atartuk yang sedang melihat perancangan peperangan Anzac dan di belakangnya merupakan askar turkey. Di sini juga merupakan memorial memperingati ribuan askar turkey yang terkorban semasa peperangan.
12. Destani Tanitim Muzium
Muzium ini merupakan tempat wajib pergi di Gallipoli. Muzium ini sangat berbeza daripada muzium-muzium yang lain yang pernah saya masuki. Pada mulanya saya keberatan untuk ke muzium ini kerana kepenatan dan kelaparan akibat seharian meronda-ronda bandar Gallipoli. Tetapi nasib baik Furkan berjaya memujuk dan meyakinkan saya bahawa muzium ini wajar di lawati sebagai penutup kembara kami di Gallipoli. Muzium ini merupakan muzium audio digital yang mempunyai pelbagai kesan khas. Bayaran masuk hanya 3 Turkish Lira bagi pelajar yang membawa kad pelajar dan mesin alih bahasa disediakan sekali. Di sini kita akan menyelusuri sejarah turkey dari zaman dahulu hinggalah sekarang, detik-detik penting dan bersejarah dalam negara turkey dan peperangan yang berlaku di Gallipoli secara audio visual. Kita hanya perlu menonton dan mendengar setiap tayangan dan disertai dengan efek khas seperti angin, hujan, gegaran dan asap. Seronok! Kaedah ini sangat berkesan kerana dengan cara ini pengunjung lebih cepat memahami maklumat yang ingin di sampaikan, pengunjung juga terhibur dengan filem-filem pendek yang disediakan dan tidak membosankan pengunjung malah pengunjung juga dapat merasai dan menjiwai perasaan-perasaan askar yang harus ke medan perang demi mempertahankan agama dan negara tercinta. Mungkin suatu hari nanti muzium seperti ini boleh dibina di Malaysia. Siapa tahu?
13. Ladang dan padang di Gallipoli
Haa..inilah motor besar yang saya maksudkan milik sahabat saya Furkan Gulmec yang murah dengan senyuman. Menurut Furkan, Gulmec bermaksud senyum dalam bahasa turkey itulah yang menyebabkan dia suka sangat senyum dan menurutnya lagi, nanti apabila saya senyum ingat nama Furkan Gulmec. Tersenyum. Sebelum saya sampai di Turkey saya ada menonton filem The Secret Life of Walter Mitty yang pelakonnya Ben Stiller. Dalam filem ini ada babak yang melekat di hati saya dan saya berangan-angan satu hari nanti saya pun nak punyai pengalaman sepertinya iaitu apabila Walter Mitty membonceng basikal di satu kawasan yang sangat luas dan sangat hijau, hanya sebatang jalan raya yang lurus dan di kiri dan kanan hanyalah rumput yang sangat menghijau. Tak sangka babak itu berlaku pada diri saya di Gallipoli, cumanya saya membonceng motorsikal besar. Mashaallah seronok subhanallah sangat cantik.
14. Minum Teh Panas
Inilah sahabat baik saya Furkan Gulmec orang turkey yang suka senyum dan sangat baik. Dialah yang bawa saya jalan- jalan menaiki motorsikal besar miliknya di bandar Gallipoli seharian dari pukul 9 pagi sehinggalah 7.30 malam. Terima kasih banyak-banyak Furkan Gulmec. Sebagai tanda terima kasih dan sambil-sambil tunggu feri saya belanja Furkan minum teh turkey panas di salah sebuah kedai teh berdekatan dengan Kilitbahir Castle sambil melihat keindahan bandar Gallipoli di waktu senja. Nostalgia!
15. Gallipoli feri
Inilah burung putih yang selalu saya sebutkan dalam entri-entri sebelum ini. Namanya burung Seagull. Seagull Turkey. Semasa saya kembara di Sydney, burung ini pun banyak juga terutamanya di kawasan luar Sydney Opera House dan Harbour Bridge, yang itu Seagull Sydney barangkali. Burung putih ini sangat comel, dia suka minta makanan pada orang ramai dan kalau kita tidak beri makanan pada burung ini, ia akan membuat bunyi yang pelik seperti ingin berkata kedekutnya manusia ni. Haha. Tetapi burung putih ini akan lagi comel apabila ia berenang di permukaan laut. Seperti itik yang putih bersih. Comel! Gambar ini di ambil ketika saya di dalam feri untuk pulang semula ke Canakkale. Terima kasih kepada makcik Turkey yang sudi memberi sepotong rotinya dan mengajak saya bersama-sama memberi cebisan roti ini kepada burung-burung putih yang sentiasa kelaparan. Kan saya dah cakap orang turkey pemurah, suka beri makanan kepada burung! ;)
Alhamdulillah berjaya menyelesaikan kembara saya di Gallipoli, Turkey seharian dengan menaiki motorsikal besar. Sesuatu yang memang di luar minda separa sedar dan minda sedar saya. Banyak tempat-tempat bersejarah dan penting yang telah saya lawati di sini yang tidak pernah terlintas di benak saya untuk sampai dan lawati. Walaupun kepenatan yang teramat kerana hari ini sudah hari yang ke-9 kembara saya di Turkey tanpa rehat dan tanpa henti, tetapi saya sangat gembira, seronok dan bersyukur sekali. Ditambah-tambah pula hari ini juga merupakan Hari Jadi saya. :)
Jom naik bas cepat, nak ke Bursa selepas ni..!!