Bandar Canakkale ataupun pernah dikenali sebagai Hellespontos atau Dardanelles pada zaman dahulu kala merupakan bandar di tepi laut ataupun lebih tepat, bandar di pesisir selat Canakkale. Canakkale sangat berbeza dengan ISTANBUL. Ia merupakan bandar maritim yang memiliki pemandangan saujana mata memandang, dengan laut yang luas, jernih, bersih dan berwarna biru kehijauan, langit biru yang cerah berawan putih tebal, angin bayu dingin yang kuat meniup, deretan restoran yang menjual pelbagai makanan dan minuman di tepi pantai, orang ramai yang khusyuk memancing ikan di tepi jeti, ratusan burung-burung putih terbang dan berbunyi riang, kucing-kucing parsi menunggu dengan sabar di tepi penjual ikan, kawanan burung merpati leka mematuk cebisan roti yang diberi oleh pak cik turkey, remaja-remaja turkey seronok berbasikal sambil bergurau senda, ini merupakan antara detik-detik indah yang sampai sekarang masih mekar dan jelas ingatannya di minda saya. Disini saya senaraikan 11 tempat yang telah dan sempat saya sampai semasa kembara saya selama dua hari di Canakkale, Turkey!
1. Muzium Tentera Laut/ Deniz Muzesi
Muzium tentera ini berada berdekatan dengan Canakkale Waterfront dan kita boleh sampai ke sini dengan hanya berjalan kaki sahaja. Malangnya, muzium perang ini tutup pada setiap hari Khamis dan saya berada di Canakkale pada hari Khamis. Tetapi pengunjung dibenarkan untuk mengunjungi dan melihat kawasan luar muzium ini yang menempatkan pelbagai arca, patung-patung pejuang turkey, bom-bom, jentera, mesin bom, kereta kebal dan pelbagai lagi alatan perang yang digunakan semasa Perang Dunia Pertama dan perang-perang yang lain. Semasa lawatan ini saya telah pun pergi bersama seorang sahabat saya yang berbangsa turkey iaitu Ahmad abi dan sepanjang lawatan ini banyak yang diceritakan dan dikongsi oleh sahabat saya ini tentang sejarah turkey, jenis peperangan, tahun peperangan, tokoh-tokoh yang terlibat dan pelbagai lagi informasi tentang negara Turkey yang amat mengagumkan saya. Bayaran masuk cuma 6 lira dan perkara yang mengejutkan saya, semua pekerja di muzium perang ini adalah tentera sebenar!
2. Canakkale Waterfront
Canakkale Waterfront merupakan pusat tumpuan pelancong di Bandar Canakkale. Hampir semua tempat-tempat menarik di bandar Canakkale berada di sini dan berdekatan dengan Canakkale Waterfront. Semasa kunjungan saya di sini saya bertuah kerana cuaca sangat baik jadi dapatlah saya menggunakan masa sepenuhnya dengan melawat bandar Canakkale sehari suntuk. Di sini saya dapat melihat pelbagai aktiviti masyarakat setempat seperti memancing ikan, bersantai-santai sambil minum teh panas, ada juga yang berjalan-jalan bersama keluarga dan yang paling menarik perhatian saya ialah budaya memberi makanan kepada burung-burung yang bebas berterbangan. Tidak kira tua ataupun muda, remaja ataupun kanak-kanak kelihatan warga turkey sangat gemar dan gembira memberi burung-burung ini makanan. Takjub! Berdekatan Canakkale Waterfront terdapat sebuah masjid besar yang sempat saya singgah untuk menunaikan solat Zohor dan Asar berjemaah. Indah!
3. Patung Kuda Trojan/ Trojan Horse
Patung kuda Trojan yang besar lagi gagah ini merupakan patung yang digunakan oleh Brad Pitt dalam filem hollywood terkenal, filem Troy. Ianya terletak betul-betul ditengah Canakkale Waterfront dan berhampiran dengan Ferry Harbour. Dari jauh kita dah boleh nampak patung kuda ini berdiri dengan megahnya. Sepanjang kembara saya di Canakkale Ahmad abi (di sebelah kiri saya) seorang pemuda turkey yang baru dikenai dan akhirnya menjadi sahabat baik saya yang banyak membantu dan secara sukarela membawa saya meneroka bandar Canakkale yang bersejarah ini. Teşekkür ederim Ahmad abi..!!
4. Masjid Recip Nisa
Ha! di masjid inilah saya sempat singgah dan solat berjemaah Zohor bersama Ahmad abi dan Furkan Gulec sahabat-sahabat saya dari Canakkale. Masjid ini merupakan antara masjid tertua di Canakkale, kita boleh lihat dari bentuk dan strukturnya. Salah satu sebab saya sangat suka dengan negara Turkey adalah kerana banyaknya masjid di sini. Malah masjid-masjid di sini sangatlah cantik, tersergam dengan indah, dibina dengan teliti dan berseni dan setiap masjid-masjid lama ini masih utuh dan kukuh sehinggalah sekarang. Sangat bangga sebagai seorang islam. Lagi satu cara orang-orang Turkey berwirid selepas solat berbeza daripada apa yang saya praktikkan di Malaysia dan ada beberapa lagi perbezaan. Jadi jika sesiapa ingin merasa perbezaan ini, solatlah berjemaah di masjid apabila mengunjungi Turkey. Unik!
5. Menara Jam Canakkale/ Canakkale Clock Tower
Menara jam lima tingkat ini merupakan salah satu daya penarik di bandar Canakkale. Ianya terletak berdekatan dengan Canakkale Waterfront dan Canakkale Harbour dan telah dibina pada tahun 1897. Berdekatan dengan menara jam ini terdapat deretan kedai-kedai, restauran dan hotel. Saya dan Ahmad abi hanya lalu di sini dan saya sempat mengambil sekeping gambar menara ini.
6. Meriam Tentera Canakkale
Ini pula merupakan meriam yang di gunakan oleh tentera Turkey suatu masa dahulu untuk melawan musuh-musuh. Meriam ini berada di puncak bukit dan tujuannya untuk memantau pergerakan kapal musuh yang memasuki perairan Turkey. Saya dan Ahmad abi telah pergi ke sana menaiki kereta lebih kurang 15 minit dari Canakkale Waterfront. Dari puncak bukit kami dapat melihat dengan jelas selat Canakkale ataupun Canakkale Strait dan pemandangan bandar Canakkale yang subhanallah sangat cantik. Menurut Ahmad abi, meriam ini tidak pernah digunakan lagi dan kini hanya menjadi tempat kunjungan pelancong.
7. Tanah Perkuburan Syahid
Canakkale merupakan bandar peperangan suatu masa dahulu. Banyak berlaku peperangan di sini kerana
pihak musuh yang ingin menawan kota Constantinople (Istanbul) perlu melalui selat Canakkale untuk ke sana dan bandar Canakkale dan Gallipoli merupakan kubu dan benteng terkuat tentera turkey untuk menyerang musuh. Jadi ramai tentera yang meniggal dan syahid demi mempertahankan negara Turkey dan agama Islam. Alhamdulillah saya berkesempatan untuk berkunjung diperkuburang pejuang Turkey yang syahid. Sangat tenang dan damai suasana di sini dan pemandangan di sini juga sangat indah.
8. Canakkale Observation Area.
Ketika kunjungan saya disini bersama Ahmad abi waktu telahpun menganjak ke waktu senja jadi, saya berpeluang untuk melihat dan menghayati keindahan panorama di saat matahari terbenam di Bandar Canakkale. Subhanallah sangat indah sekali. Kaki langit perlahan-lahan bertukar warna dari kuning keemasan ke warna oren pekat dan akhir sekali meninggalkan langit kebiruan. Cantik. Selain kami, terdapat juga beberapa warga turkey yang leka menghayati keindahan alam dan pemandangan di sini sambil menghirup teh panas. Sempat juga saya bertegur sapa dengan dua orang pegawai tentera turkey yang bertugas di Canakkale Observation Area ini dan mereka terkejut selepas mengetahui saya datang mengembara di Turkey seorang diri.
9. Jambatan Bandar Canakkale
Gambar ini diambil ketika saya sedang berjalan kaki menyeberangi salah satu jambatan di Canakkale dan menurut Ahmad abi sahabat saya, jambatan ini mempunyai pemandangan yang paling dan sangat cantik kerana ia betul-betul menghadap bandar Gallipoli yang akan saya kunjungi keesokkan harinya dan dari sini kami boleh melihat dengan jelas Istana Kilitbahir. Tambahnya lagi, ketika musim panas ramai warga turkey akan berkelah di kaki lima dan berenang-renang di sini.
10. Canakkale Feri
Kunjungan ke Canakkale tidak akan lengkap jika tidak mencuba menaiki feri di sini. Feri masih diguna dengan meluas di Turkey dan merupakan pengangkutan utama dari Canakkale ke Gallipoli. Feri di sini sangat besar. Motor, kereta, van malah bas pun boleh menggunakan perkhidmatan feri ini. Perkara yang paling seronok apabila menaiki feri adalah kita dapat melihat keseluruhan pemandangan bandar Canakkale. Duduk di kerusi kayu, badan selesa bersandar dan bernafas dengan tenang di salah satu kerusi di tingkat paling atas dan terbuka sambil menghayati dan menikmati keindahan bandar Canakkale. Indah.
11. Kedai Manisan Canakkale
Kedai manisan ini merupakan kedai yang paling terkenal dan paling sedap di Canakkale menurut sahabat saya Furkan Gulmec. Manisan ini sangat unik dan sangat tersendiri kerana ianya dibuat dari keju dan susu yang di bakar menggunakan arang. Sememangnya manisan ini sangat sedap lemak berkrim sehinggakan tidak cukup ketika kami makan bersama-sama satu keluarga di Malaysia. Insha Allah jika berkesempatan saya mengunjungi Canakkale suatu hari nanti saya akan beli manisan ini berkilo-kilo untuk dibawa pulang ke Malaysia. Harganya pun berpatutan, semurah 30 Turkish Lira untuk sekilo. Sedap!
Saya sangat bersyukur dan bertuah kerana dapat mengunjungi bandar Canakkale yang sangat cantik dan berjumpa dan bersahabat dengan warga Canakkale yang sangat baik lagi membantu. Terima kasih atas jasa kalian dan semoga persahabatan ini akan mekar berkekalan abadi. Seterusnya esok saya akan kembara dengan menaiki motor besar ke Gallipoli..!!
No comments:
Post a Comment