Tuesday, April 1, 2014

10 Tempat WAJIB Dilawati Di Istanbul, Turkey


Istanbul, Turkey? Kenapa Istanbul? Kenapa Turkey?
Istanbul merupakan salah satu bandar didunia yang sudah lama berada di dalam senarai tempat wajib pergi saya, semenjak di bangku sekolah rendah lagi. Alhamdulillah baru-baru ini saya berpeluang dan diberi kesempatan untuk menjejakkan kaki, menghirup udara, melihat keindahan dan merasai kemegahan bandar idaman ini. Di sini saya senaraikan 10 tempat yang telah saya sampai dan wajib sampai di Istanbul, Turkey!

1. Masjid Biru/ Masjid Sultanahmet


Masjid biru ataupun dalam bahasa inggeris Blue Mosque merupakan salah satu mercu tanda Istanbul, Turkey dan merupakan tempat yang paling dan paling saya ingin lawati di Istanbul. Teringat lagi ketika saat pertama bertentangan mata dan berhadapan menghadap Masjid Sultanahmet ini hati rasa sayu, hiba, sebak dan takjub kerana akhirnya impian dan cita-cita saya untuk melihat dengan mata kepala saya sendiri akhirnya tercapai. Alhamdulillah, subhanallah sangat cantik, indah, megah dan agung. Di dalam masjid ini jugalah saya bertemu dengan seorang gadis Turkey bermata hijau. Masha Allah!

2. Grand Bazaar


Grand bazar merupakan surga membeli belah bagi kaki shopping. Pelbagai barang dijual di sini seperti turkey karpet, cenderamata, cenderahati, tudung turkey, sejadah turkey, pelbagai jenis teh, herba dan rempah ratus, lampu-lampu turkey yang sangat cantik, zaitun dan minyak zaitun, pelbagai jenis keju, kebab dan macam-macam lagi. Semuanya ada disini. Perkara yang paling menyeronokkan ialah kebanyakan peniaga di sini boleh berbahasa melayu. "Adik, baju murah, karpet murah, jom minum teh panas". Terkesima sebentar. Kalau nak tahu salah seorang peniaga karpet di Grand Bazaar ini mukanya mirip pelakon hollywood terkenal George Clooney. Sebijik!

3. Topkapi Palace


Jika ingin melawat Topkapi Palace anda memerlukan sekurang-kurangnya separuh hari ataupun seharian untuk melawat setiap inci istana ini. Istana ini mempunyai kawasan yang sangat luas dan ruang pameran yang sangat banyak. Bayangkan terdapat puluhan ruang pameran dan di setiap ruang pameran pula terdapat banyak barang-barang bersejarah, bernilai dan berharga di pamerkan. Nasihat saya jika penat, duduk dan nikmati keindahan pemandangan ataupun senibina bangunan dan selepas itu teruskan melihat bahan pameran. Bagi yang meminati muzium, bahan-bahan bersejarah dan sejarah turkey seperti saya Topkapi Palaca merupakan syurga informasi dan tempat yang tepat untuk di lawati. Di sini juga saya terserempak dengan dua orang pemuda Turkey yang terkejut saya seorang diri mengembara di Turkey, malangnya mereka tidak fasih berbahasa inggeris jadi sepanjang perkenalan, kami banyak menggunakan bahasa isyarat sahaja. Lucu!

4. Hagia Sophia Muzium


Hagia Sophia ataupun Ayasofya Muzesi mempunyai kubah yang terbesar di Istanbul. Pada asalnya Hagia Sophia adalah gereja selepas itu ditukar menjadi masjid oleh Sultan Mehmed II dan akhirnya sekarang menjadi muzium untuk orang ramai. Hagia Sophia terletak betul-betul bertentangan dengan Masjid Biru dan diantara kedua-dua bangunan hebat ini terdapat taman bunga yang sangat luas dan air pancut yang sangat cantik. Disebabkan bangunan ini sangat cantik dan amat memukau mata yang memandang saya menghabiskan masa di sini hampir lima jam melihat dan meninjau setiap inci bangunan. Di sini juga saya berjumpa dengan pakcik Kadir seorang berbangsa turkey yang fasih berbahasa inggeris dan mempunyai ilmu yang sangat mendalam dan luas tentang sejarah turkey. Disebabkan seronok bersembang dan banyak perkara yang ingin dikongsinya, pakcik kadir mengajak saya untuk minum teh bersama dan dia mendesak untuk membayarnya. Seronok!

5. Yerebatan Sarnici


Saya tidak pernah tahu kewujudan Yerebatan Sarnici ataupun The Basilica Cistern sebelum ini, tetapi selepas bersembang dengan beberapa sahabat warga turkey dan mereka amat-amat mengesyorkan saya untuk pergi ke sana. Akhirnya saya telah pun berjaya menjejakkan kaki di kolam bawah tanah ini. Yerebatan Sarnici merupakan kolam air ataupun tempat takungan air ataupun tempat simpanan air di bawah tanah. Bayangkan bagaimana hebatnya orang di zaman dahulu membina kolam yang sangat besar dan cantik di bawah tanah dengan puluhan tiang yang menyokong dan air kolam yang kekal jernih. Selain itu, saya dapat melihat kepala Medusa di salah satu tiang di Yerebatan Sarnici. Konon-konon nya jika tiang yang menghempap kepala Medusa itu terpatah ataupun roboh, kepala Medusa itu boleh hidup kembali dan menggigit sesiapa yang berdekatan. Astaga.

6. Spice Bazaar


Spice bazar terletak di Eminonu area dan merupakan syurga membeli belah yang kedua selepas Grand Bazaar. Ramai yang berpendapat harga barang-barang di Spice Bazaar lebih murah sedikit berbanding Grand Bazaar. Disebabkan Spice Bazaar berdekatan dengan laut banyak ikan-ikan dan hasil laut di jual di sini. Perkara yang menarik di Bazaar ialah kita boleh mencuba pelbagai makanan dan minuman yang dijual di sini dengan percuma dan saya berkesempatan mencuba pomegranate tea ataupun teh delima di salah sebuah kedai di situ. Sedap!

7. Hamam/ Turkish Bath


Turkish bath ataupun dewan mandi orang ramai merupakan salah satu tempat wajib pergi di Turkey dan memang dalam senarai tempat wajib pergi sebelum saya sampai di Istanbul lagi. Turkish bath sudah dimulakan dari dahulu kala lagi dan diteruskan tradisi ini sehinggalah sekarang. Tujuan utama turkish bath adalah untuk kebersihan diri dan merehatkan diri selain dapat menyegarkan dan menyihatkan badan. Pada mulanya saya agak gementar dan ragu-ragu untuk pergi ke turkish bath seorang diri, tetapi saya bernasib baik kerana dapat berjumpa dengan seorang backpacker dari Melbourne yang juga ingin ke turkish bath. Jadi kami pun pergi bersama-sama. Teringat lagi ketika menjejakkan kaki di dalam Hamam, saya sangat takjub dengan kecantikannya, lantai dan sinki yang dibuat sepenuhnya daripada batu marmar berwarna putih, bumbung berbentuk kubah dan bercorak-corak, kepala paip besi berukir unik dan perkara yang paling seronok saya dimandikan dengan air panas seperti kanak-kanak. 

8. Istanbul University


Sesiapa yang meminati bangunan klasik seperti dalam cerita Harry Potter dan Lord of The Ring pasti menyukai bangunan-bangunan di Istanbul University. Bayangkan bangunan-bangunan ini dibina pada tahun 1453 semasa empayar Ottoman lagi, masih utuh dan kukuh sehingga sekarang. Kampus utamanya terletak bersebelahan dengan Beyazit Square yang hampir setiap hari semasa saya di Istanbul melaluinya. Dapatlah tengok gelagat, ragam dan kehidupan pelajar Istanbul University. Alhamdulillah saya bernasib baik dan berpeluang untuk melawat Istanbul University iaitu antara universiti tertua di Turkey. Tetapi sebenarnya bukanlah mudah untuk memasuki ke dalam Istanbul University kerana di setiap pintu masuk mempunyai pengawal-pengawal yang tegas dan teliti memeriksa kad identiti setiap pelajar dan beg setiap pelajar perlu melalui mesin pengimbas untuk menjaga kemaslahatan sejagat. Tentu kawan-kawan nak tahu bagaimana saya boleh memasuki, bersiar-siar dan mengambil gambar dengan seronoknya di dalam Istanbul University?

9. Taksim Square


Taksim Square ataupun Taksim Meydani boleh dikatakan tempat yang paling moden di Istanbul, ala-ala Bukit Bintang di Kuala Lumpur tetapi lagi hebat dan moden lagi. Kebanyakkan pelancong memilih untuk tinggal di sini kerana kawasan ini mempunyai banyak hotel dan restoran malah tempat-tempat hiburan. Semasa saya di Taksim Square saya berpeluang untuk melihat rakyat turkey mengadakan protes secara aman di jalan-jalan sepanjang Taksim area. Saya juga berpeluang untuk melihat polis-polis turkey yang lengkap berpakaian seragam bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Bahagian yang paling kelakar ialah kebanyakan pelancong termasuklah saya seronok bergambar dengan pelbagai gaya bersama polis turkey yang sedang bertugas dan juga rakyat turkey yang melakukan protest. 

10. Eminonu area


Eminonu area merupakan tempat yang sangat cantik dan sangat meriah dengan kebanjiran masyarakat turkey dan pelancong asing. Dari sini kita boleh pergi ke New Mosque, Galata Bridge yang merentasi Golden Horn, Spice Bazaar, feri untuk Bosphorus Tour, Eminonu Tram Station dan dewan Mavlava performance dengan hanya berjalan kaki. Dari sini juga kita boleh nampak Topkapi Palace, Blue Mosque (Sultanahmet Camii) dan Hagia Sophia (Aya Sofya) yang tersergam indah di kaki bukit. Subhanallah cantik. Eminonu area merupakan tempat wajib singgah dan memang merupakan pusat pelancongan dan tumpuan pelancong. Teringat lagi angin dingin dan hujan gerimis kencang meniup menampar pipi ketika sesi tangkap gambar di Jambatan Galata. Sejuk! Tak dilupakan juga ratusan burung putih yang bebas berterbangan di udara dengan riangnya dan ada juga yang berenang bersantai-santai di laut Bosphorus. Indah.

Sesungguhnya banyak lagi tempat menarik yang perlu dan boleh dilawati di Istanbul, Turkey. Sebolehnya setiap inci bandar Istanbul ingin saya jejaki menggunakan kedua-dua kaki ini dan melihat serta menghayati keindahan bandaraya Istanbul dengan kedua-dua belah mata ini. Tetapi perjalanan perlu diteruskan. Jom ke CANAKKALE..!!!

9 comments:

Ceq Nuen Kerepekzz said...

Boleh jadikan info..terima kasih =)

NurDdVioletz said...

sejuk x kt sana?

Anonymous said...

Nk tnya klau masuk di hammam brapa lera ya bayaranya?

Nur Hanani said...

Assalamualaikum and haiii 👋 entri menarik , and sy sdg mencari tmpt2 menarik utk dilawati dkt turki even lamaaaa lagi hajat nak pergi sbb kekangan sbg student. Kalau tak kesah blh kongsikan budget pergi balik mkn mnum tmpt penginapan di sana? Hope blh share, coz sy masih muda blm thu selok belok tp impian nk ke turki dah ada 😊

Unknown said...

Assalamualaikum, mmg best baca pengalaman awak pegi sana. Saya pon In Sya Allah akan ke sana tahun depan.. Boley saya tau agak2 brp duit poket yg kita kena prepare utk pegi sana? Terima kasih

sulhana said...

Entry yang sangat menarik. Very informative. Boleh dijadikan panduan untuk saya ke sana suatu hari nanti. Sebab Instanbul tersenarai antara 5 Destinasi Percutian Impian Saya

Unknown said...

Astagaaaaa

zaidi emas public gold said...

Hebat...sangat menarik bila mengunjungi turki...harap dapat pergi turki juga...

acervirus said...

salam hai nak tanye.. kalau nak jalan2 di turkey.. senang tak dari segi pengakutan?? mahal ke tambang mereke??? hope blh share
itinerary and bajet... tq...
nie email sy
princess_acervirus@yahoo.com