Friday, April 4, 2014

18 Tempat WAJIB Jejak di Bursa, Turkey..!!

Bursa merupakan bandar ke-4 di Turkey yang berjaya saya jejaki untuk kembara kali ini selepas GALLIPOLI. Dari Canakkale stesyen bas, saya mengambil bas pada pukul 7.30 petang dan selamat sampai di stesyen bas Bursa pada pukul 11.30 malam. Perjalanan lebih kurang 4 jam dan tiket bas hanya berharga 35TL dan pengalaman menaiki bas di Turkey sangatlah menyeronokkan. Perkhidmatannya sangat memuaskan hati dengan kerusi yang empuk dan besar, ada skrin tv di setiap kerusi, diberi minuman dan makanan ringan secara percuma dan boleh tambah banyak kali! Alhamdulillah apabila sampai, saya disambut mesra oleh sahabat-sahabat baru saya warga Busra. Seronok! Di sini saya senaraikan tempat yang sempat saya jejak sepanjang kembara saya di Bursa selama 2 hari..!!

1. Ulu Camii/ Grand Mosque


Masjid besar ini merupakan destinasi pertama yang saya singgah. Sangat cantik dan besar dengan pelbagai ukiran dan khat yang menghiasi di setiap ruang masjid ditambah pula dengan lampu candeliar turkey yang cerah menyala. Ianya dibina pada zaman empayar Ottoman dan masih kukuh dan utuh sehinggalah sekarang. Antara perkara yang menarik mengenai masjid ini ialah tempat mengambil wudunya yang dibina seperti kolam air pancut daripada batu marmar putih dan air di sini juga bersih dan selamat untuk diminum. Subhanallah.

2. Ulu Camii Park


Di kawasan ataupun taman ini kita dapat melihat ramai warga turkey yang beriadah dan bersantai sambil menikmati keindahan taman dan menghayati cuaca yang baik pada hari ini. Banyak ragam dan gelagat warga turkey yang boleh saya lihat di sini. Ramai!

3. Perpustakaan Awam Bursa


Ini pula merupakan perpustakaan awam di Bursa mengikut kata-kata sahabat saya iaitu Enes Dogan. Saya tidak sempat memasukinya kerana jadual kembara kami yang agak padat dan perlu mengejar beberapa tempat wajib pergi di Bursa yang lain lagi. Sempat tangkap gambar bahagian luar bangunan ini yang bagi saya sangat klasik dan unik!

4. Turkish Islamic Art Muzeum


Muzium ini terletak bertentangan dengan perpustakaan awam Bursa. Selain mempunyai ruang pameran, terdapat juga barang-barang kraftangan antik bercirikan islam dan turkey yang di jual di sini. Saya tertarik dengan seutas tasbih yang diperbuat daripada batu marmar yang cantik berukir. Tetapi apabila melihat harganya, tangan saya terus meletaknya kembali. .

5. Yesil Camii


Alhamdulillah saya dan Enes Dogan sempat solat Asar berjemaah di masjid ini. Sangat indah dan mengagumkan. Pendek kata saya sangat suka bangunan klasik dan sangat suka dengan semua masjid di turkey yang klasik-klasik semuanya. Dinding yang dipenuhi dengan mozek yang berwarna-warni, kubah masjid dipenuhi dengan ukiran khat, lampu candeliar yang besar dan menerangi setiap ruang, tempat mengambil wudu yang sangat unik dan berseni, karpet turkey yang bercorak flora memenuhi setiap ruang dan masjid yang berdiri dengan sangat megah membuatkan setiap mata yang memandang akan terkesima. Tak tipu..

6. Green Tomb


Disini pula merupakan salah satu tempat wajib kunjung di Bursa. Makam ini di bina pada zaman empayar Ottoman lagi dan binaan bangunan ini menunjukkan dan membuktikan kegemilangan semasa empayar Ottoman. Di dalam makam ini, hampir keseluruhan dindingnya dihiasi dengan mozek yang sangat cantik dan dihiasi dengan lukisan yang sangat berseni. 

7. Flea Market/ Koza Hanii


Haa..inilah sahabat saya Enes Dogan yang sangat baik dan sudi membawa saya berjalan-jalan dan melawat tempat-tempat menarik di bandar Bursa. Hampir seharian kami berjalan kaki dan menaiki tram untuk pergi ke satu tempat ke tempat yang lain di bandar Bursa ini. Disebabkan penat berjalan, kami berehat sebentar di salah satu restoran di kawasan Koza Hanii sambil minum teh turkey panas dan makan kekacang turkey. Enes Dogan sangat fasih berbahasa inggeris dan sepanjang kembara saya di Bursa beliaulah yang banyak membantu saya untuk menjadi juru alih bahasa. Saya teringat lagi kata-kata Anes:

Anes: Mohamad give me your beg.
Saya: No its okey, i can carry.
Anes: (sambil mencapai beg sandang saya) Mohamad you are my brother and it is my responsibility to entertain, bring you anywhere you want and help you. I want you to be happy here.
Saya: Subhanallah baiknya Anes. Insha allah jika Anes datang ke Malaysia satu hari nanti saya akan melakukan perkara yang sama (berbisik-bisik dalam hati)

8. Emir Sultan Park


Di kawasan ini terdapat banyak kerusi-kerusi yang disediakan untuk kemudahan orang awam. Saya boleh lihat ramai orang turkey tidak kira tua ataupun muda beriadah di sini dan saya mengambil kesempatan ini untuk duduk di salah sebuah kerusi sambil memerhati gelagat dan aktiviti warga turkey. Seronok!

9. Tempat Minum Awam


Sesiapa yang sampai di turkey wajib untuk mencuba minum di tempat minum awam ini. Airnya sangat sejuk dan menyegarkan. Pada mulanya saya keberatan untuk minum di sini kerana bimbang perut meragam ataupun menggangu sistem pencernaan tetapi selepas melihat Enes Dogan minum dan beberapa orang turkey yang lain juga minum dengan penuh keyakinan, saya pun memberanikan diri untuk mencuba. Menurut Anes tempat minum awam ini telah lama di perkenalkan di Turkey semenjak zaman empayar Ottoman lagi. Pada masa itu kebersihan sangat diutamakan dan tempat minum awam ini di bina di merata-rata tempat untuk memudahkan orang awam minum dan membersihkan diri untuk beribadat. Cantik pulak tu!

10. Emir Sultan Camii


Emirsultan Camii merupakan antara masjid tertua di Bursa yang dibina pada zaman empayar Ottoman lagi. Masjid ini sangat cantik dan mengagumkan sesiapa yang melihatnya. Perkara yang paling mengagumkan saya ialah tempat mengambil wudu masjid ini kerana ia dibina menggunakan sepenuhnya batu marmar putih dan berbentuk seperti kolam air pancut. Di sini juga terdapat makam dan kubur-kubur lama tokoh-tokoh pejuang Turkey.

11. Kemal Atartuk Statue


Statue Kemal Attartuk ini terletak di salah satu jalan utama di Bursa. Saya dan Anes hanya melalui kawasan ini untuk pulang ke hostel kami dan saya sempat mengambil gambar statue ini dalam kederasan langkah kami.

12. Bursa Area


Inilah pemandangan kawasan perumahan pinggir bandar Bursa. Pada waktu malam kawasan bukit ini akan bergemerlapan dengan cahaya pelbagai warna. Sangat cantik dan pemandangan ini hanya boleh dilihat di sini sahaja. Serious.

13. Kara Mustafa Thermal Hamam


Ini pula merupakan pengalaman kedua saya mengunjungi Hamam. Pertama di Istanbul dan kedua di Bursa dan kedua-dua pengalaman ber-hamam ini memberi pengalaman yang tersendiri dan sangat berbeza. Bagi saya, saya lebih menyukai Kara Mustafa Thermal Hamam di Bursa ini dan amat-amat menyarankan rakan-rakan di luar sana untuk mengunjunginya. Pada kali ini saya pergi ke hamam bersama sahabat baik saya iaitu Said abi awal-awal pagi lagi. Hamam ataupun ruang mandi awam ini sudah lama wujud semenjak zaman empayar Ottoman lagi dan menjadi kemestian untuk mengunjungi hamam untuk membersihkan diri sebelum menunaikan ibadat. Alhamdulillah selepas 3 hari tidak mandi akibat cuaca yang sangat sejuk, jadual kembara yang sangat padat ditambah lagi dengan perjalanan yang berterusan, dapat mandi dan berendam dalam kolam air panas merupakan satu nikmat. Ditambah pula dengan sauna. Segar..

14. Kofteci Yusof


Menurut Said abi Kofteci Yusof adalah McDonald versi turkey dan bagi saya Kofteci Yusof sangat-sangatlah sedap dan menjilat jari daripada McDonald siap tambah berkofte-kofte. Wajib cuba dan rasa bagi sesiapa yang sampai di Bursa amatlah enak dan berkhasiat juga sebab kofte (bebola daging) ini dipanggang bukannya digoreng, yang paling saya suka ialah manisan di sini. Sedap!

15. Bursa Zoo


Bursa zoo tidaklah besar dan tidak juga kecil tetapi banyak juga haiwan yang ada di sini seperti zirafah, beruang, kangaroo, burung unta dan macam-macam lagi. Ramai ibu bapa yang membawa anak-anak mereka di sini ada juga rombongan dari sekolah barangkali. Apa yang menarik bayaran masuk hanya 3TL untuk pelajar yang membawa kad pelajar.

16. Mevlana Performance


Ini juga merupakan pengalaman kedua saya menonton dan menyaksikan persembahan tarian Mevlana ataupun tarian sufi ataupun Sema dan juga dapat mendengar secara langsung alunan musik daripada seruling turkey yang di panggil Nay. Sangat mengasyikkan. Menyaksikan persembahan ini merupakan perkara wajib buat di Turkey dan sudah lama saya ingin melihat persembahan ini yang pada saya amat unik dan wajib tonton sekali seumur hidup. Alhamdulillah saya berpeluang untuk melihat persembahan ini dua kali, satu di istanbul dengan bayaran masuk sebanyak 30TL (harga pelajar) dan di Bursa secara percuma.!! Saya mengetahui tarian Sema ini semasa saya kecil lagi ketika sekolah rendah barangkali ketika menonton rancangan jejak rasul dan semenjak itu saya berazam untuk menontonnya. Tarian Mevlana ini dipersembahkan di Pusat Kesenian Bursa pada hari-hari tertentu dan semestinya ianya percuma untuk semua orang!

17. Tempat Minum Awam


Menurut Enes Dogan sahabat baik saya bentuk bangunan ini mempunyai kembarnya yang terletak di negara lain. Kalau tidak silap saya di Bosnia. Di bangunan ini juga terdapat tempat minum awam yang membolehkan sesiapa sahaja datang untuk minum melepaskan lelah di dada dan menadah air untuk membawa pulang ke rumah.

18. Bursa Village




Desa ini terletak di kaki bukit dan dari sini kita boleh nampak gunung Uludag yang bersalji di puncaknya dan juga pemandang-pemandangan desa turkey yang subhanallah sangat cantik. Di desa yang aman dan damai ini juga kami mengadakan majlis makan-makan. Ramai sahabat-sahabat dan kenalan-kenalan baru saya warga turkey yang berkumpul dan hadir di sini. Kami bergotong-royong menyediakan hidangan makan malam berjemaah kami iaitu Kofte Homemade Special dan pelbagai juadah lagi. Alhamdulillah allah memberi saya peluang dan ruang untuk berkenalan, bersahabat dan bersama dengan insan-insan yang baik lagi bekerti mulia, yang rajin melayan kerenah saya semasa di Bursa dan tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman mereka bersama saya. Setiap detik dan ketika akan saya ingat dan kenang, jauh sekali untuk melupainya. Terima kasih banyak-banyak terutamanya Said abi, Enes Dogan, Altan abi, Mustafa Bayar dan ramai lagi rakan-rakan saya di Bursa dari jemaah Risale-i Nur. Teşekkür ederim..!!

Sedih. Sebak. Sayu.
Tetapi perjalanan perlu diteruskan. Masa tidak menanti kita.
Selamat tinggal Bursa, menuju ke Atartuk Istanbul Airport di subuh bening menaiki bas dari Stesyen bas Bursa yang mengambil masa lebih kurang 4jam.


Thursday, April 3, 2014

15 Perkara WAJIB Pergi dan Buat di Gallipoli, Turkey..!!

Gallipoli ataupun dalam bahasa Turkey Gelibolu merupakan bandar perang terutamanya semasa perang dunia pertama. Bandar Gallipoli terletak bertentangan dengan bandar CANAKKALE dan dipisahkan oleh selat Canakkale. Di sini terdapat banyak bahan-bahan peninggalan perang seperti tanah perkuburan tentera dan pejuang semasa peperangan, muzium perang, kubu-kubu pertahanan, kelongsong-kelongsong peluru yang boleh dijumpai di merata-rata tempat dan apa yang menariknya kebanyakan warga turkey yang tinggal di sini merupakan bekas ataupun sedang berkhidmat sebagai askar turkey. Dasyat! Tidak pernah terlintas di fikiran saya sebelum ini untuk kembara menggunakan motor besar di Turkey dan alhamdulillah untuk kembara kali ini di Gallipoli sahabat baik saya warga turkey yang sangat baik dan gemar tersenyum iaitu Furkan Gulmec sudi menemani saya dan membawa saya jalan-jalan menaiki motor besarnya. Broom..!!

1. Gallipoli Waterfront


Disini merupakan tempat terletaknya jeti feri yang saya naiki dari Canakkale dan Gallipoli Waterfront merupakan tempat petama yang saya tuju selepas turun dari feri. Sangat tenang dan aman di sini. Dengan bayu laut dingin yang menyapa pipi dan menerbangkan rambut saya. Kicauan burung-burng putih yang bebas berterbangan menyambut kedatangan kami. Cahaya matahari yang terang tetapi dingin masih mencengkam setiap inci kulit. Baju sejuk yang dipinjamkan oleh sahabat Indonesia saya yang belajar di Istanbul saya zipkan, jaket motor yang diberi oleh Furkan Gulmec saya butangkan, mafla buatan tangan warna merah biru yang saya beli di kedai tepi jalan di Istanbul saya kemaskan. Helmet ala-ala pelumba motosikal terkenal Turkey saya sarungkan. "Furkan i'm ready, lets go!". Ujar saya penuh keterujaan.

2. War Monument


War Monument terletak bersebelahan dengan Gallipoli Waterfront. Di sini kita dapat lihat kejadian sebenar ataupun situasi sebenar bagaimana keadaan sebenar semasa peperangan yang perlu dihadapi oleh tentera-tentera Turkey. Perkara yang paling mengejutkan minda separa sedar saya dan sampai sekarang saya ingat apa yang diceritakan oleh Furkan ialah semasa peperangan, kubu yang dibina diantara kubu musuh jaraknya hanya lebih kurang lapan meter sahaja dan setiap tentera yang berjuang tahu yang mereka pasti akan mati apabila memasuki kubu itu tetapi demi semangat cintakan agama Islam dan negara Turkey mereka akhirnya syahid di medan peperangan. Subhanallah besarnya pengorbanan mereka!

3. Small Mosque


Masjid ini merupakan antara masjid tertua di Gallipoli yang terletak di atas bukit. Memang saya perasan yang masjid ini sudah berusia mungkin puluhan malah ratusan tahun dengan melihat seni bina masjid ini, keadaan hiasan dalaman masjid ini yang bagi saya sangat klasik, unik dan tersendiri, tempat mengambil wudu di luar kawasan masjid juga cantik dan berukir-ukir diperbuat daripada batu marmar berwarna putih dan pelbagai lagi hiasan yang masih mengekalkan ciri-ciri di zaman empayar ottoman. Secara jujurnya, saya sangat takjub dan suka dengan masjid- masjid di Turkey. Binaannya sangat berseni, teliti dan unik yang membuatkan kita rasa teruja untuk beribadat di sini dan terpanggil untuk beriktikaf lama sambil menghayati keindahan masjid. Saya juga sempat bertemu dan berbual dengan imam masjid ini yang telah mewakafkan dirinya untuk berkhidmat sepanuh masa sebagai imam. Subhanallah!

4. Fort Namazgah


Pada mulanya saya menyangka kawasan ini adalah kawasan padang yang luas tetapi rupanya ia adalah bekas kubu pertahanan semasa peperangan dan tempat menyimpan alatan peperangan. Kawasan ini sangat cantik dan saujana mata memandang dengan rumput yang menghijau seperti karpet yang meliputi setiap inci tanah, ditambah pula dengan kehadiran bungan-bunga kecil berwarna kuning, bayu laut yang sepoi-sepoi bahasa dan bunyi ombak yang menghempas tebing. Segar. Indah. Damai. Fort Namazgah merupakan ibu pejabat kepada Heavy Artillery Regiment yang ke-4 dibawah pimpinan Lt. Colonel Mehmet Zekeriya semasa peperangan 18 March.

5. Fort Namazgah Entrance


Ini pula merupakan bekas runtuhan bangunan pada zaman dahulu dan yang tinggal hanyalah bahagian pintu masuk utama. Menurut sahabat saya, bangunan ini telah runtuh akibat serangan dari pihak musuh dan bahagian yang tinggal masih kuat dan utuh sehingga sekarang.

6. Kilitbahir Castle


Kilitbahir bermaksud pengunci pintu laut. Ianya terletak bertentangan dengan Kale-i Sultaniye Castle yang terletak di bandar Canakkale. Kedua-dua istana ini berfungsi sebagai kubu di perairan selat Canakkale daripada digangu ataupun dimasuki musuh. Ianya dibina oleh Sultan Mehmet Fatih pada tahun 1463. Semasa lawatan saya ke sini istana Kilitbahir ini tutup kerana kerja-kerja menaik taraf sedang dilakukan. Jadi saya hanya berpeluang untuk melihat dan meninjau istana ini dari luar sahaja. Sebelum ini saya hanya dapat melihat istana-istana besar dan megah seperti ini dalam filem-filem terbitan disney tetapi sekarang saya dapat melihatnya di depan mata saya sendiri. Kagum!

6. Canakkale Straits


Saya sangat terpesona dengan kejernihan dan kebersihan air laut di Cannakkale/ Gallipoli. Lautnya berwarna biru kehijauan dan kejernihan airnya membolehkan saya nampak dengan jelas ikan-ikan berwarna-warni berenang bebas. Menurut sahabat saya Furkan Gulmec,air laut selat canankkale ini bersih kerana ianya sentiasa mengalir dari laut Aegan ke laut Marmara seperti sebatang sungai. Jadi airnya sentiasa diperbaharui dan itulah yang menyebabkan air laut ini sentiasa bersih, jernih dan kaya dengan hidupan laut. Kalaulah saya datang di Gallipoli pada musim panas, sudah jauh saya berenang rasanya! Berdekatan dengan kawasan ini ada sebuah masjid. Kami menunaikan solat jumaat di masjid ini. Alhamdulillah saya berkesempatan untuk merasai solat jumaat dan mendengar khutbah dalam bahasa turkey di sini walaupun tersengguh-sengguk semasa khutbah dibacakan. Selepas solat jumaat sempat juga saya bersembang-sembang dengan imam masjid ini yang fasih berbahasa inggeris, banyak ilmu yang dikongsi oleh beliau dan katanya, jikalau datang ke Gallipoli lagi singgahlah ke rumahnya pula. Inshaallah.

8. Sehitler Aniti


Ini juga merupakan salah satu kubu tentera turkey yang berada di bandar Gallipoli. Walaupun ianya adalah bekas kubu semasa peperangan dahulu kala tetapi ianya masih kekal sehingga sekarang dan masih berfungsi. Patung ini dibina untuk menunjukkan betapa hebatnya tentera turkey pada masa dahulu, demi mempertahankan negara dari serangan musuh sanggup mengangkat bahan letupan yang beratnya bertan-tan dengan hanya menggunakan tulang empat kerat.

9. Turkish Memorial


Untuk ke sini ianya mengambil masa lebih kurang 15 minit menggunakan motorsikal. Dalam kesejukan dan kedinginan ditambah lagi aingin yang kuat. Kami meredah jalan raya yang luas dengan di kiri dan kanan kami ladang yang menghijau, bukit bukau yang saujana mata memandang dan kami juga boleh melihat kambing-kambing khusyuk meragut rumput untuk ke memorial dan perkuburan pejuang-pejuang turkey yang terkorban semasa peperangan. Di Turkish Memorial ini terdapat dua bahagian iaitu bahagian memorial dan bahagian perkuburan sebenar. Di bahagian memorial ini kita akan dapat melihat nama-nama pejuang yang terkorban semasa peperangan dan meraka bukan hanya berasal dari turkey sahaja malah ada yang berasal dari Mesir, Greece, Palestine, Israel dan macam-macam lagi negara demi mempertahankan negara Turkey dan agama Islam. Subhanallah!

10. Canakkale Sehitleri Aniti (Canakkale Martyrs Memorial)


Di sini merupakan tempat memperingati askar-askar yang yang telah terkorban dan syahid semasa peperangan. Setiap tahun akan diadakan upacara memperingati mereka yang terkorban. Saya dan Furkan Gulmec amat bernasib baik kerana ketika kami sampai di sini sedang berlangsungnya raptai ataupun latihan persediaan sebelum berlangsungnya hari pahlawan. Dapatlah kami lihat bagaimana perbarisan dijalankan dan melihat askar turkey yang tinggi dan bermuka serious berkawat, melihat dan mendengar pasukan pancaragam turkey, menonton persembahan tarian tradisional turkey dan yang paling seronok dapat mengambil gambar dengan askar-askar turkey! Ada askar, tentera laut, tentera darat, tentera udara malah askar berkuda. Semuanya mempunyai pakaian seragam yang berbeza dan sangat unik.

11. Mustafa Kemal Atartuk Statue


Patung ataupun statue ini merupakan patung Mustafa Kemal Atartuk yang sedang melihat perancangan peperangan Anzac dan di belakangnya merupakan askar turkey. Di sini juga merupakan memorial memperingati ribuan askar turkey yang terkorban semasa peperangan.

12. Destani Tanitim Muzium


Muzium ini merupakan tempat wajib pergi di Gallipoli. Muzium ini sangat berbeza daripada muzium-muzium yang lain yang pernah saya masuki. Pada mulanya saya keberatan untuk ke muzium ini kerana kepenatan dan kelaparan akibat seharian meronda-ronda bandar Gallipoli. Tetapi nasib baik Furkan berjaya memujuk dan meyakinkan saya bahawa muzium ini wajar di lawati sebagai penutup kembara kami di Gallipoli. Muzium ini merupakan muzium audio digital yang mempunyai pelbagai kesan khas. Bayaran masuk hanya 3 Turkish Lira bagi pelajar yang membawa kad pelajar dan mesin alih bahasa disediakan sekali. Di sini kita akan menyelusuri sejarah turkey dari zaman dahulu hinggalah sekarang, detik-detik penting dan bersejarah dalam negara turkey dan peperangan yang berlaku di Gallipoli secara audio visual. Kita hanya perlu menonton dan mendengar setiap tayangan dan disertai dengan efek khas seperti angin, hujan, gegaran dan asap. Seronok! Kaedah ini sangat berkesan kerana dengan cara ini pengunjung lebih cepat memahami maklumat yang ingin di sampaikan, pengunjung juga terhibur dengan filem-filem pendek yang disediakan dan tidak membosankan pengunjung malah pengunjung juga dapat merasai dan menjiwai perasaan-perasaan askar yang harus ke medan perang demi mempertahankan agama dan negara tercinta. Mungkin suatu hari nanti muzium seperti ini boleh dibina di Malaysia. Siapa tahu?

13. Ladang dan padang di Gallipoli


Haa..inilah motor besar yang saya maksudkan milik sahabat saya Furkan Gulmec yang murah dengan senyuman. Menurut Furkan, Gulmec bermaksud senyum dalam bahasa turkey itulah yang menyebabkan dia suka sangat senyum dan menurutnya lagi, nanti apabila saya senyum ingat nama Furkan Gulmec. Tersenyum. Sebelum saya sampai di Turkey saya ada menonton filem The Secret Life of Walter Mitty yang pelakonnya Ben Stiller. Dalam filem ini ada babak yang melekat di hati saya dan saya berangan-angan satu hari nanti saya pun nak punyai pengalaman sepertinya iaitu apabila Walter Mitty membonceng basikal di satu kawasan yang sangat luas dan sangat hijau, hanya sebatang jalan raya yang lurus dan di kiri dan kanan hanyalah rumput yang sangat menghijau. Tak sangka babak itu berlaku pada diri saya di Gallipoli, cumanya saya membonceng motorsikal besar. Mashaallah seronok subhanallah sangat cantik.

14. Minum Teh Panas


Inilah sahabat baik saya Furkan Gulmec orang turkey yang suka senyum dan sangat baik. Dialah yang bawa saya jalan- jalan menaiki motorsikal besar miliknya di bandar Gallipoli seharian dari pukul 9 pagi sehinggalah 7.30 malam. Terima kasih banyak-banyak Furkan Gulmec. Sebagai tanda terima kasih dan sambil-sambil tunggu feri saya belanja Furkan minum teh turkey panas di salah sebuah kedai teh berdekatan dengan Kilitbahir Castle sambil melihat keindahan bandar Gallipoli di waktu senja. Nostalgia!

15. Gallipoli feri


Inilah burung putih yang selalu saya sebutkan dalam entri-entri sebelum ini. Namanya burung Seagull. Seagull Turkey. Semasa saya kembara di Sydney, burung ini pun banyak juga terutamanya di kawasan luar Sydney Opera House dan Harbour  Bridge, yang itu Seagull Sydney barangkali. Burung putih ini sangat comel, dia suka minta makanan pada orang ramai dan kalau kita tidak beri makanan pada burung ini, ia akan membuat bunyi yang pelik seperti ingin berkata kedekutnya manusia ni. Haha. Tetapi burung putih ini akan lagi comel apabila ia berenang di permukaan laut. Seperti itik yang putih bersih. Comel! Gambar ini di ambil ketika saya di dalam feri untuk pulang semula ke Canakkale. Terima kasih kepada makcik Turkey yang sudi memberi sepotong rotinya dan mengajak saya bersama-sama memberi cebisan roti ini kepada burung-burung putih yang sentiasa kelaparan. Kan saya dah cakap orang turkey pemurah, suka beri makanan kepada burung! ;)

Alhamdulillah berjaya menyelesaikan kembara saya di Gallipoli, Turkey seharian dengan menaiki motorsikal besar. Sesuatu yang memang di luar minda separa sedar dan minda sedar saya. Banyak tempat-tempat bersejarah dan penting yang telah saya lawati di sini yang tidak pernah terlintas di benak saya untuk sampai dan lawati. Walaupun kepenatan yang teramat kerana hari ini sudah hari yang ke-9 kembara saya di Turkey tanpa rehat dan tanpa henti, tetapi saya sangat gembira, seronok dan bersyukur sekali. Ditambah-tambah pula hari ini juga merupakan Hari Jadi saya. :)
Jom naik bas cepat, nak ke Bursa selepas ni..!!


Wednesday, April 2, 2014

11 Tempat Wajib DILAWATI di Canakkale, Turkey


Bandar Canakkale ataupun pernah dikenali sebagai Hellespontos atau Dardanelles pada zaman dahulu kala merupakan bandar di tepi laut ataupun lebih tepat, bandar di pesisir selat Canakkale. Canakkale sangat berbeza dengan ISTANBUL. Ia merupakan bandar maritim yang memiliki pemandangan saujana mata memandang, dengan laut yang luas, jernih, bersih dan berwarna biru kehijauan, langit biru yang cerah berawan putih tebal, angin bayu dingin yang kuat meniup, deretan restoran yang menjual pelbagai makanan dan minuman di tepi pantai, orang ramai yang khusyuk memancing ikan di tepi jeti, ratusan burung-burung putih terbang dan berbunyi riang, kucing-kucing parsi menunggu dengan sabar di tepi penjual ikan, kawanan burung merpati leka mematuk cebisan roti yang diberi oleh pak cik turkey, remaja-remaja turkey seronok berbasikal sambil bergurau senda, ini merupakan antara detik-detik indah yang sampai sekarang masih mekar dan jelas ingatannya di minda saya. Disini saya senaraikan 11 tempat yang telah dan sempat saya sampai semasa kembara saya selama dua hari di Canakkale, Turkey! 

1. Muzium Tentera Laut/ Deniz Muzesi


Muzium tentera ini berada berdekatan dengan Canakkale Waterfront dan kita boleh sampai ke sini dengan hanya berjalan kaki sahaja. Malangnya, muzium perang ini tutup pada setiap hari Khamis dan saya berada di Canakkale pada hari Khamis. Tetapi pengunjung dibenarkan untuk mengunjungi dan melihat kawasan luar muzium ini yang menempatkan pelbagai arca, patung-patung pejuang turkey, bom-bom, jentera, mesin bom, kereta kebal dan pelbagai lagi alatan perang yang digunakan semasa Perang Dunia Pertama dan perang-perang yang lain. Semasa lawatan ini saya telah pun pergi bersama seorang sahabat saya yang berbangsa turkey iaitu Ahmad abi dan sepanjang lawatan ini banyak yang diceritakan dan dikongsi oleh sahabat saya ini tentang sejarah turkey, jenis peperangan, tahun peperangan, tokoh-tokoh yang terlibat dan pelbagai lagi informasi tentang negara Turkey yang amat mengagumkan saya. Bayaran masuk cuma 6 lira dan perkara yang mengejutkan saya, semua pekerja di muzium perang ini adalah tentera sebenar!

2. Canakkale Waterfront


Canakkale Waterfront merupakan pusat tumpuan pelancong di Bandar Canakkale. Hampir semua tempat-tempat menarik di bandar Canakkale berada di sini dan berdekatan dengan Canakkale Waterfront. Semasa kunjungan saya di sini saya bertuah kerana cuaca sangat baik jadi dapatlah saya menggunakan masa sepenuhnya dengan melawat bandar Canakkale sehari suntuk. Di sini saya dapat melihat pelbagai aktiviti masyarakat setempat seperti memancing ikan, bersantai-santai sambil minum teh panas, ada juga yang berjalan-jalan bersama keluarga dan yang paling menarik perhatian saya ialah budaya memberi makanan kepada burung-burung yang bebas berterbangan. Tidak kira tua ataupun muda, remaja ataupun kanak-kanak kelihatan warga turkey sangat gemar dan gembira memberi burung-burung ini makanan. Takjub! Berdekatan Canakkale Waterfront terdapat sebuah masjid besar yang sempat saya singgah untuk menunaikan solat Zohor dan Asar berjemaah. Indah!

3. Patung Kuda Trojan/ Trojan Horse 


Patung kuda Trojan yang besar lagi gagah ini merupakan patung yang digunakan oleh Brad Pitt dalam filem hollywood terkenal, filem Troy. Ianya terletak betul-betul ditengah Canakkale Waterfront dan berhampiran dengan Ferry Harbour. Dari jauh kita dah boleh nampak patung kuda ini berdiri dengan megahnya. Sepanjang kembara saya di Canakkale Ahmad abi (di sebelah kiri saya) seorang pemuda turkey yang baru dikenai dan akhirnya menjadi sahabat baik saya yang banyak membantu dan secara sukarela membawa saya meneroka bandar Canakkale yang bersejarah ini.  Teşekkür ederim Ahmad abi..!!

4. Masjid Recip Nisa


Ha! di masjid inilah saya sempat singgah dan solat berjemaah Zohor bersama Ahmad abi dan Furkan Gulec sahabat-sahabat saya dari Canakkale. Masjid ini merupakan antara masjid tertua di Canakkale, kita boleh lihat dari bentuk dan strukturnya. Salah satu sebab saya sangat suka dengan negara Turkey adalah kerana banyaknya masjid di sini. Malah masjid-masjid di sini sangatlah cantik, tersergam dengan indah, dibina dengan teliti dan berseni dan setiap masjid-masjid lama ini masih utuh dan kukuh sehinggalah sekarang. Sangat bangga sebagai seorang islam. Lagi satu cara orang-orang Turkey berwirid selepas solat berbeza daripada apa yang saya praktikkan di Malaysia dan ada beberapa lagi perbezaan. Jadi jika sesiapa ingin merasa perbezaan ini, solatlah berjemaah di masjid apabila mengunjungi Turkey. Unik!

5. Menara Jam Canakkale/ Canakkale Clock Tower


Menara jam lima tingkat ini merupakan salah satu daya penarik di bandar Canakkale. Ianya terletak berdekatan dengan Canakkale Waterfront dan Canakkale Harbour dan telah dibina pada tahun 1897. Berdekatan dengan menara jam ini terdapat deretan kedai-kedai, restauran dan hotel. Saya dan Ahmad abi hanya lalu di sini dan saya sempat mengambil sekeping gambar menara ini.

6. Meriam Tentera Canakkale


Ini pula merupakan meriam yang di gunakan oleh tentera Turkey suatu masa dahulu untuk melawan musuh-musuh. Meriam ini berada di puncak bukit dan tujuannya untuk memantau pergerakan kapal musuh yang memasuki perairan Turkey. Saya dan Ahmad abi telah pergi ke sana menaiki kereta lebih kurang 15 minit dari Canakkale Waterfront. Dari puncak bukit kami dapat melihat dengan jelas selat Canakkale ataupun Canakkale Strait dan pemandangan bandar Canakkale yang subhanallah sangat cantik. Menurut Ahmad abi, meriam ini tidak pernah digunakan lagi dan kini hanya menjadi tempat kunjungan pelancong.

7. Tanah Perkuburan Syahid


Canakkale merupakan bandar peperangan suatu masa dahulu. Banyak berlaku peperangan di sini kerana
pihak musuh yang ingin menawan kota Constantinople (Istanbul) perlu melalui selat Canakkale untuk ke sana dan bandar Canakkale dan Gallipoli merupakan kubu dan benteng terkuat tentera turkey untuk menyerang musuh. Jadi ramai tentera yang meniggal dan syahid demi mempertahankan negara Turkey dan agama Islam. Alhamdulillah saya berkesempatan untuk berkunjung diperkuburang pejuang Turkey yang syahid. Sangat tenang dan damai suasana di sini dan pemandangan di sini juga sangat indah.

8. Canakkale Observation Area.


Ketika kunjungan saya disini bersama Ahmad abi waktu telahpun menganjak ke waktu senja jadi, saya berpeluang untuk melihat dan menghayati keindahan panorama di saat matahari terbenam di Bandar Canakkale. Subhanallah sangat indah sekali. Kaki langit perlahan-lahan bertukar warna dari kuning keemasan ke warna oren pekat dan akhir sekali meninggalkan langit kebiruan. Cantik. Selain kami, terdapat juga beberapa warga turkey yang leka menghayati keindahan alam dan pemandangan di sini sambil menghirup teh panas. Sempat juga saya bertegur sapa dengan dua orang pegawai tentera turkey yang bertugas di Canakkale Observation Area ini dan mereka terkejut selepas mengetahui saya datang mengembara di Turkey seorang diri.

9. Jambatan Bandar Canakkale


Gambar ini diambil ketika saya sedang berjalan kaki menyeberangi salah satu jambatan di Canakkale dan menurut Ahmad abi sahabat saya, jambatan ini mempunyai pemandangan yang paling dan sangat cantik kerana ia betul-betul menghadap bandar Gallipoli yang akan saya kunjungi keesokkan harinya dan dari sini kami boleh melihat dengan jelas Istana Kilitbahir. Tambahnya lagi, ketika musim panas ramai warga turkey akan berkelah di kaki lima dan berenang-renang di sini.

10. Canakkale Feri


Kunjungan ke Canakkale tidak akan lengkap jika tidak mencuba menaiki feri di sini. Feri masih diguna dengan meluas di Turkey dan merupakan pengangkutan utama dari Canakkale ke Gallipoli. Feri di sini sangat besar. Motor, kereta, van malah bas pun boleh menggunakan perkhidmatan feri ini. Perkara yang paling seronok apabila menaiki feri adalah kita dapat melihat keseluruhan pemandangan bandar Canakkale. Duduk di kerusi kayu, badan selesa bersandar dan bernafas dengan tenang di salah satu kerusi di tingkat paling atas dan terbuka sambil menghayati dan menikmati keindahan bandar Canakkale. Indah.

11. Kedai Manisan Canakkale


Kedai manisan ini merupakan kedai yang paling terkenal dan paling sedap di Canakkale menurut sahabat saya Furkan Gulmec. Manisan ini sangat unik dan sangat tersendiri kerana ianya dibuat dari keju dan susu yang di bakar menggunakan arang. Sememangnya manisan ini sangat sedap lemak berkrim sehinggakan tidak cukup ketika kami makan bersama-sama satu keluarga di Malaysia. Insha Allah jika berkesempatan saya mengunjungi Canakkale suatu hari nanti saya akan beli manisan ini berkilo-kilo untuk dibawa pulang ke Malaysia. Harganya pun berpatutan, semurah 30 Turkish Lira untuk sekilo. Sedap!

Saya sangat bersyukur dan bertuah kerana dapat mengunjungi bandar Canakkale yang sangat cantik dan berjumpa dan bersahabat dengan warga Canakkale yang sangat baik lagi membantu. Terima kasih atas jasa kalian dan semoga persahabatan ini akan mekar berkekalan abadi. Seterusnya esok saya akan kembara dengan menaiki motor besar ke Gallipoli..!!




Tuesday, April 1, 2014

10 Tempat WAJIB Dilawati Di Istanbul, Turkey


Istanbul, Turkey? Kenapa Istanbul? Kenapa Turkey?
Istanbul merupakan salah satu bandar didunia yang sudah lama berada di dalam senarai tempat wajib pergi saya, semenjak di bangku sekolah rendah lagi. Alhamdulillah baru-baru ini saya berpeluang dan diberi kesempatan untuk menjejakkan kaki, menghirup udara, melihat keindahan dan merasai kemegahan bandar idaman ini. Di sini saya senaraikan 10 tempat yang telah saya sampai dan wajib sampai di Istanbul, Turkey!

1. Masjid Biru/ Masjid Sultanahmet


Masjid biru ataupun dalam bahasa inggeris Blue Mosque merupakan salah satu mercu tanda Istanbul, Turkey dan merupakan tempat yang paling dan paling saya ingin lawati di Istanbul. Teringat lagi ketika saat pertama bertentangan mata dan berhadapan menghadap Masjid Sultanahmet ini hati rasa sayu, hiba, sebak dan takjub kerana akhirnya impian dan cita-cita saya untuk melihat dengan mata kepala saya sendiri akhirnya tercapai. Alhamdulillah, subhanallah sangat cantik, indah, megah dan agung. Di dalam masjid ini jugalah saya bertemu dengan seorang gadis Turkey bermata hijau. Masha Allah!

2. Grand Bazaar


Grand bazar merupakan surga membeli belah bagi kaki shopping. Pelbagai barang dijual di sini seperti turkey karpet, cenderamata, cenderahati, tudung turkey, sejadah turkey, pelbagai jenis teh, herba dan rempah ratus, lampu-lampu turkey yang sangat cantik, zaitun dan minyak zaitun, pelbagai jenis keju, kebab dan macam-macam lagi. Semuanya ada disini. Perkara yang paling menyeronokkan ialah kebanyakan peniaga di sini boleh berbahasa melayu. "Adik, baju murah, karpet murah, jom minum teh panas". Terkesima sebentar. Kalau nak tahu salah seorang peniaga karpet di Grand Bazaar ini mukanya mirip pelakon hollywood terkenal George Clooney. Sebijik!

3. Topkapi Palace


Jika ingin melawat Topkapi Palace anda memerlukan sekurang-kurangnya separuh hari ataupun seharian untuk melawat setiap inci istana ini. Istana ini mempunyai kawasan yang sangat luas dan ruang pameran yang sangat banyak. Bayangkan terdapat puluhan ruang pameran dan di setiap ruang pameran pula terdapat banyak barang-barang bersejarah, bernilai dan berharga di pamerkan. Nasihat saya jika penat, duduk dan nikmati keindahan pemandangan ataupun senibina bangunan dan selepas itu teruskan melihat bahan pameran. Bagi yang meminati muzium, bahan-bahan bersejarah dan sejarah turkey seperti saya Topkapi Palaca merupakan syurga informasi dan tempat yang tepat untuk di lawati. Di sini juga saya terserempak dengan dua orang pemuda Turkey yang terkejut saya seorang diri mengembara di Turkey, malangnya mereka tidak fasih berbahasa inggeris jadi sepanjang perkenalan, kami banyak menggunakan bahasa isyarat sahaja. Lucu!

4. Hagia Sophia Muzium


Hagia Sophia ataupun Ayasofya Muzesi mempunyai kubah yang terbesar di Istanbul. Pada asalnya Hagia Sophia adalah gereja selepas itu ditukar menjadi masjid oleh Sultan Mehmed II dan akhirnya sekarang menjadi muzium untuk orang ramai. Hagia Sophia terletak betul-betul bertentangan dengan Masjid Biru dan diantara kedua-dua bangunan hebat ini terdapat taman bunga yang sangat luas dan air pancut yang sangat cantik. Disebabkan bangunan ini sangat cantik dan amat memukau mata yang memandang saya menghabiskan masa di sini hampir lima jam melihat dan meninjau setiap inci bangunan. Di sini juga saya berjumpa dengan pakcik Kadir seorang berbangsa turkey yang fasih berbahasa inggeris dan mempunyai ilmu yang sangat mendalam dan luas tentang sejarah turkey. Disebabkan seronok bersembang dan banyak perkara yang ingin dikongsinya, pakcik kadir mengajak saya untuk minum teh bersama dan dia mendesak untuk membayarnya. Seronok!

5. Yerebatan Sarnici


Saya tidak pernah tahu kewujudan Yerebatan Sarnici ataupun The Basilica Cistern sebelum ini, tetapi selepas bersembang dengan beberapa sahabat warga turkey dan mereka amat-amat mengesyorkan saya untuk pergi ke sana. Akhirnya saya telah pun berjaya menjejakkan kaki di kolam bawah tanah ini. Yerebatan Sarnici merupakan kolam air ataupun tempat takungan air ataupun tempat simpanan air di bawah tanah. Bayangkan bagaimana hebatnya orang di zaman dahulu membina kolam yang sangat besar dan cantik di bawah tanah dengan puluhan tiang yang menyokong dan air kolam yang kekal jernih. Selain itu, saya dapat melihat kepala Medusa di salah satu tiang di Yerebatan Sarnici. Konon-konon nya jika tiang yang menghempap kepala Medusa itu terpatah ataupun roboh, kepala Medusa itu boleh hidup kembali dan menggigit sesiapa yang berdekatan. Astaga.

6. Spice Bazaar


Spice bazar terletak di Eminonu area dan merupakan syurga membeli belah yang kedua selepas Grand Bazaar. Ramai yang berpendapat harga barang-barang di Spice Bazaar lebih murah sedikit berbanding Grand Bazaar. Disebabkan Spice Bazaar berdekatan dengan laut banyak ikan-ikan dan hasil laut di jual di sini. Perkara yang menarik di Bazaar ialah kita boleh mencuba pelbagai makanan dan minuman yang dijual di sini dengan percuma dan saya berkesempatan mencuba pomegranate tea ataupun teh delima di salah sebuah kedai di situ. Sedap!

7. Hamam/ Turkish Bath


Turkish bath ataupun dewan mandi orang ramai merupakan salah satu tempat wajib pergi di Turkey dan memang dalam senarai tempat wajib pergi sebelum saya sampai di Istanbul lagi. Turkish bath sudah dimulakan dari dahulu kala lagi dan diteruskan tradisi ini sehinggalah sekarang. Tujuan utama turkish bath adalah untuk kebersihan diri dan merehatkan diri selain dapat menyegarkan dan menyihatkan badan. Pada mulanya saya agak gementar dan ragu-ragu untuk pergi ke turkish bath seorang diri, tetapi saya bernasib baik kerana dapat berjumpa dengan seorang backpacker dari Melbourne yang juga ingin ke turkish bath. Jadi kami pun pergi bersama-sama. Teringat lagi ketika menjejakkan kaki di dalam Hamam, saya sangat takjub dengan kecantikannya, lantai dan sinki yang dibuat sepenuhnya daripada batu marmar berwarna putih, bumbung berbentuk kubah dan bercorak-corak, kepala paip besi berukir unik dan perkara yang paling seronok saya dimandikan dengan air panas seperti kanak-kanak. 

8. Istanbul University


Sesiapa yang meminati bangunan klasik seperti dalam cerita Harry Potter dan Lord of The Ring pasti menyukai bangunan-bangunan di Istanbul University. Bayangkan bangunan-bangunan ini dibina pada tahun 1453 semasa empayar Ottoman lagi, masih utuh dan kukuh sehingga sekarang. Kampus utamanya terletak bersebelahan dengan Beyazit Square yang hampir setiap hari semasa saya di Istanbul melaluinya. Dapatlah tengok gelagat, ragam dan kehidupan pelajar Istanbul University. Alhamdulillah saya bernasib baik dan berpeluang untuk melawat Istanbul University iaitu antara universiti tertua di Turkey. Tetapi sebenarnya bukanlah mudah untuk memasuki ke dalam Istanbul University kerana di setiap pintu masuk mempunyai pengawal-pengawal yang tegas dan teliti memeriksa kad identiti setiap pelajar dan beg setiap pelajar perlu melalui mesin pengimbas untuk menjaga kemaslahatan sejagat. Tentu kawan-kawan nak tahu bagaimana saya boleh memasuki, bersiar-siar dan mengambil gambar dengan seronoknya di dalam Istanbul University?

9. Taksim Square


Taksim Square ataupun Taksim Meydani boleh dikatakan tempat yang paling moden di Istanbul, ala-ala Bukit Bintang di Kuala Lumpur tetapi lagi hebat dan moden lagi. Kebanyakkan pelancong memilih untuk tinggal di sini kerana kawasan ini mempunyai banyak hotel dan restoran malah tempat-tempat hiburan. Semasa saya di Taksim Square saya berpeluang untuk melihat rakyat turkey mengadakan protes secara aman di jalan-jalan sepanjang Taksim area. Saya juga berpeluang untuk melihat polis-polis turkey yang lengkap berpakaian seragam bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Bahagian yang paling kelakar ialah kebanyakan pelancong termasuklah saya seronok bergambar dengan pelbagai gaya bersama polis turkey yang sedang bertugas dan juga rakyat turkey yang melakukan protest. 

10. Eminonu area


Eminonu area merupakan tempat yang sangat cantik dan sangat meriah dengan kebanjiran masyarakat turkey dan pelancong asing. Dari sini kita boleh pergi ke New Mosque, Galata Bridge yang merentasi Golden Horn, Spice Bazaar, feri untuk Bosphorus Tour, Eminonu Tram Station dan dewan Mavlava performance dengan hanya berjalan kaki. Dari sini juga kita boleh nampak Topkapi Palace, Blue Mosque (Sultanahmet Camii) dan Hagia Sophia (Aya Sofya) yang tersergam indah di kaki bukit. Subhanallah cantik. Eminonu area merupakan tempat wajib singgah dan memang merupakan pusat pelancongan dan tumpuan pelancong. Teringat lagi angin dingin dan hujan gerimis kencang meniup menampar pipi ketika sesi tangkap gambar di Jambatan Galata. Sejuk! Tak dilupakan juga ratusan burung putih yang bebas berterbangan di udara dengan riangnya dan ada juga yang berenang bersantai-santai di laut Bosphorus. Indah.

Sesungguhnya banyak lagi tempat menarik yang perlu dan boleh dilawati di Istanbul, Turkey. Sebolehnya setiap inci bandar Istanbul ingin saya jejaki menggunakan kedua-dua kaki ini dan melihat serta menghayati keindahan bandaraya Istanbul dengan kedua-dua belah mata ini. Tetapi perjalanan perlu diteruskan. Jom ke CANAKKALE..!!!