Wednesday, January 23, 2013

SKYTREX ADVENTURE PARK




 Alhamdulillah, kali ini berpeluang untuk mengikuti satu lagi aktiviti yang mencabar dalam kehidupan seharian aku. Aktiviti ini dinamakan 'Extreme Challenge' yang bertempat di SKYTREX ADVENTURE PARK, Taman Pertanian Malaysia, Bukit Cahaya Seri Alam, Selangor yang berdekatan sahaja dengan rumah aku. 
Terima kasih tidak terhingga kepada NUFFNANG sebab memilih aku disaat- saat akhir untuk menyertai aktiviti yang amat menyeronokkan dan mencabar kejantanan malah kemachoan setiap insan.



Untuk pengetahuan semua aktiviti ini amatlah mencabar. Hanya yang betul-betul bersemangat dan mempunyai stamina yang jitu sahaja mampu untuk menyelesaikan setiap halangan dan rintangan yang ada disediakan di sini. Antara cabaran yang disediakan di 'extreme challenge' ini ialah memanjang tangga gantung setinggi 12 meter, melakukan 7x 'flying fox' yang menggayatkan, meniti titian yang hanya mempunyai seutas tali dan kita tergantung diantara pokok-pokok yang tinggi, bergayut ala-ala tarzan untuk ke pokok seterusnya dan yang paling penting, semua aktiviti ini dijalankan diatas pokok tanpa memijak tanah yang bersih.


Program ini dimulakan dengan pendaftaran para peserta di pintu masuk utama Bukit Cahaya@Bukit Cerakah. Selepas itu, kami dibawa ke kawasan skytrex dengan menaiki bas terbuka. Disana kami telah disambut oleh kakitangan skytrex yang amat peramah dan disajikan dengan kudapan sebagai mengalas perut yang amat menyelerakan. Lebih kurang pukul satu tengahari kami telah diarahkan untuk berkumpul dan diberikan taklimat ringkas untuk survival didalam hutan nanti. kami sangat beruntung kerana pihak skytrex telah sudi menaja air mineral, sarung tangan dan beg minuman untuk digunakan semasa aktiviti ini dijalankan.
Terima kasih skytrex!!


Sepanjang lebih kurang dua jam aktiviti ini dijalankan bersama-sama teman-teman blogger yang baru berkenalan tidak terdetik pun rasa jemu dan muak. Hanya rasa cuak menjelma apabila cabaran yang perlu dihadapi amat menakutkan. Berkenal-kenalan sesama sendiri, berkongsi aktiviti, usik-mengusik, gelak dan hilai tawa, tolong-menolong kawan yan lemah itulah antara aktiviti yang kami jalankan semasa berada di dalam hutan. Bagi yang gayat dan takut ketinggian, apabila selesai sahaja aktiviti ini pasti perasaan itu hilang dan tertinggal di dalam hutan Bukit Cahaya Shah Alam.


Secara keseluruhan aktiviti yang disediakan dan program yang dianjurkan ini amat menyeronokkan dan berbekas memberi kenangan yang indah dalam sanubari ini. Semoga pelbagai aktiviti yang menarik seperti ini  dapat dilakukan lagi. 


No comments: